Sunday 12 August 2012

Kelebihan Malam Lailatul Qadar

SEPULUH malam terakhir Ramadan akan bermula esok. Malam yang dilimpahi  keberkatan dan keistimewaan harus direbut oleh umat Islam yang berpuasa. Ini kerana salah satu malam itu akan  dinamakan lailatulqadar yang disebut lebih baik daripada 1,000 bulan. Sepuluh  malam terakhir Ramadan juga harus diisi dengan beriktikaf di masjid dan  memperbanyakkan amalan termasuk membaca al-Quran dan menghidupkannya dengan  berbuat ibadat.

Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan  ibadah pada malam 10 yang terakhir melebihi daripada malam-malam sebelumnya. Aisyah ra berkata; “Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan,  baginda menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun  beribadah), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (tidak mencampuri)  isteri-isterinya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Pada malam 10 terakhir ada satu malam  yang dinamakan lailatulqadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang   banyak). Pada malam ini diturunkan al- Quran sebagaimana firman Allah yang  maksudnya, “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada lailatulqadar.”  (al-Qadr,1)


Ibn Abbas berkata, Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari al-Loh al-Mahfuz ke Bait al-E’zzah yang terletak di  langit dunia. Kemudian ia turunkan secara berperingkat kepada Rasulullah SAW,  selama 23 tahun. Lailatulqadar disifatkan lebih baik  berbanding 1,000 bulan. Firman Allah bermaksud, “lailatulqadar lebih baik  daripada 1,000 bulan”. (al-Qadr, 3) Pada malam ini juga disifatkan sebagai  malam yang penuh berkat. Firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan, ayat 4  bermaksud, “Sesungguhnya Kami turunkannya (al- Quran) pada malam yang  diberkati”. 


Pada malam itu juga turunnya Malaikat memenuhi bumi ini. Dan Malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam itu. Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia.  Firman Allah SWT yang maksudnya, “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang  penuh hikmah”. (al-Dukhan, 4) Apa yang dimaksudkan melalui tafsir  ‘urusan yang penuh hikmah’ itu ialah pada malam berkenaan Allah menentukan umur,  rezeki dan ajal manusia.Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha  Penyayang juga mengampunkan hamba- Nya yang menghidupkan malam-malam berkenaan  dengan ibadah dan zikrullah (penghayatan terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah)  penuh rasa keimanan dan pengharapan. Nabi SAW bersabda, bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam 10 terakhir Ramadan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Rasulullah SAW bersabda lagi bermaksud: 
“Carilah lailatulqadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir”. (Riwayat Bukhari)

Imam Nawawi berpendapat bahawa memandangkan hadis yang menceritakan mengenai lailatulqadar berselisih pada waktunya,ini menunjukkan bahawa malam berkenaan berpindah-pindah pada setiap tahun.


Oleh itu, setiap muslim tidak sepatutnya melepaskan peluang daripada memanfaatkan malam 10 terakhir Ramadan dan  menghidupkannya dengan ibadah dan doa. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah ra bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatulqadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab, katakanlah ‘Allahuma inni affu’un karim tuhibbul afuwa  fa’fuanni’” Satu lagi amalan yang sangat dituntut dilakukan oleh umat Islam pada 10 malam terakhir Ramadan ialah dengan iktikaf di  masjid. Fadilat beriktikaf pada bulan Ramadan lebih banyak berbanding hari yang  biasa. Maksud iktikaf di sini ialah mendampingi masjid untuk mentaati Allah SWT. Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan sehinggalah baginda wafat.  Isteri-isteri baginda turut beriktikaf bersama- samanya ketika baginda hidup dan meneruskan selepas baginda wafat.

  • Syarat sah iktikaf ialah Islam, berakal, tidak berjunub dan bersih daripada haid dan nifas bagi perempuan. Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid
  • Waktu bermula iktikaf: Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjid sebelum terbenam matahari ke-20  Ramadan. 
  • Waktu berakhir iktikaf:Berakhirnya iktikaf ialah selepas terbenamnya  matahari pada hari terakhir Ramadan.



Perkara sunat yang dilakukan ketika beriktikaf ialah memperbanyakkan ibadat sunat seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, takbir, istighfar, salawat dan doa. Begitu juga menghadiri  majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadis, tafsir, sirah nabi dan sebagainya.

Perkara yang harus dilakukan ialah keluar daripada masjid kerana sesuatu hajat dan darurat seperti untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudara mara, menziarahi kematian atau orang sakit.Begitu juga hukumnya harus dan digalakkan jika mandi, memotong rambut,kuku, memakai pakaian yang bersih dan wangi-wangian.Mendirikan solat fardu secara berjemaah di masjid memangdigalakkan. Seseorang yang bersolat jemaah di rumahnya tidak sama berbanding berjemaah di masjid.Keutamaan jemaah di masjid ini sangat diberi perhatian oleh Rasulullah SAW. Pada zaman Rasulullah SAW, semua sahabat menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid. 


Pernah juga suatu ketika Rasulullah SAWsangat marah kepada mereka yang tidak mahu datang solat berjemaah dan baginda bersabda, bermaksud: “Kalaulah boleh, aku akan menyuruh semua kanak-kanak  mengumpulkan kayu api agar aku boleh keluarmencari dan membakar rumah-rumah yang penghuninya bersolat di rumah mereka tanpa sebab yang dibenarkan.”

No comments: