Sunday 12 August 2012

Adab Berbuka Puasa Mengikut Sunnah

Puasa adalah satu ibadah yang telah ditetapkan oleh Allah azza wa jalla. Allah s.w.t menjadikan Rasul-Nya contoh terbaik yang memberi panduan untuk umat manusia beribadah supaya terlaksana dengan sempurna dan diterima di sisi-Nya. Bagi menambah lagi ganjaran pahala puasa, Rasulullah s.a.w menerangkan pada kita beberapa adab yang perlu dicontohi berhubung dengan ibadah ini. Di antara adab yang perlu diikuti oleh seseorang Muslim semasa berbuka puasa ialah:


1-Menyegerakan berbuka puasa apabila masuk waktu Maghrib.
Ini berdasarkan hadis-hadis yang sahih seperti sabda baginda s.a.w:

إنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: « لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ »

Maksudnya: manusia itu sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa. (hadis riwayat Bukhari, no 1957, dan Muslim, no 1098).
Di samping hadis ini menerangkan pada kita tentang fadilat menyegerakan berbuka puasa, ia juga memberitahu kita bahawa punca kekalnya insan dalam kebaikan disebabkan mereka berpegag pada al-sunnah dan mengikut petunjuk agama serta memahami batasannya. Dalam hal di atas kekalnya manusia itu dalam kebaikan berpunca dari perbuatan menyegerakan berbuka puasa kerana ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w. (rujuk Nuzhah al-Muttaqin syarah Riyadh al-Salihin, Muhammad Amin Lutfy, Ali al-Syarbaji, Muhyiddin Misto, halaman 132).


Dalam sebuah hadis qudsi, sabda Rasulullah s.a.w:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: « قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَحَبُّ عِبَادِى إِلَىَّ أَعْجَلُهُمْ فِطْرًا »
Maksudnya: sabda Rasulullah s.a.w: Allah azza wa jalla berfirman: hamba yang paling Aku kasihi dikalangan hamba-hamba-Ku ialah mereka yang menyegerakan berbuka puasa. (hadis riwayat Tirmizi, hadis hasan). 


2-Berbuka dengan rutab atau tamar atau air
Rutab (رُطَبٌ) ialah buah tamar yang telah masak dan basah yang mana ia lembut dan manis, manakala tamar (تَمَرٌ) adalah buah tamar yang kering. (lihat al-Mu’jam al-Wasit, Ibrahim Mustafa wa al-akharun, tahqiq majma’ al-lughah al-arabiyyah, jilid 1, halaman 730). Kedua-dua jenis kurma ini terdapat di pasaran dalam negara kita. Seperti yang diketahui rutab lebih mahal daripada tamar kering sesuai dengan kualitinya. Rasulullah s.a.w mengutamakan berbuka puasa dengan rutab. Sekiranya rutab tiada barulah baginda berbuka dengan tamar dan apabila tiada tamar baginda berbuka dengan air. Ini bersandarkan pada hadis di bawah:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتَمَرَاتٌ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ 
 تَمَرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat, jika tiada rutab baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air. (hadis riwayat Abu Dawud, no 2357, dan Tirmizi, no 696. Kata Tirmizi ia hadis hasan).


Berbuka dengan turutan mengikut keutamaan dengan rutab, tamar dan air adalah sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk umat baginda. Kita diberi pahala apabila mengamalkannya kerana cinta kepada petunjuk nabawi. Adapun kelebihannya, kata al-Syawkani: disunnahkan berbuka puasa dengan rutab keranan ia manis dan yang manis itu menguatkan pandangan yang menjadi lemah disebabkan puasa. (rujuk Nail al-Awtar, Muhammad ’Ali al-Syawkani, cetakan Beirut, jilid 4, halaman 302). Namun yang lebih tepat ialah seperti yang Rasulullah s.a.w sendiri sebut iaitu kerana keberkatannya. Hadis di bawah menjelaskan perkara tersebut. 

عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: « إذا أفطر أحدكم فليفطر على تمر فإنه بركة فإن لم يجد تمرا فالماء فإنه طهور »

Maksudnya: apabila seseorang dari kamu berbuka puasa hendaklah dia berbuka dengan tamar kerana ia barakah. Jika dia tidak mendapati tamar hendaklah dia berbuka dengan air kerana ia suci. (hadis riwayat Tirmizi, no 694. Kata al-Tirmizi: hadis sahih).


3-Menyegerakan solat Maghrib jika makanan belum terhidang
Ini difahami dari hadis Anas yang telah disebutkan sebelum ini iaitu:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ…

Maksudnya: Rasulullah  s.a.w berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat…
Dari hadis ini kita faham bahawa selepas berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau air, baginda s.a.w menunaikan solat Maghrib. Ini sekiranya makanan belum dihidang tapi jika sudah terhidang, adalah makruh kita meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam syarah hadis ini. Kata beliau: dalam hadis-hadis tersebut dapat difahami bahawa dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan kerana ia mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim bin Hajjaj, al-Nawawi, Muhyiddin Syaraf, jilid 2, halaman 321). 


Hadis lain turut menyentuh hal ini seperti hadis di bawah:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم « إذا قدم العَشاء فابدؤوا به قبل أن تصلوا صلاة المغرب ولا تعجلوا عن عشائكم »

Maksudnya: apabila dihidangkan makanan maka mulailah dengannya (makanan itu) sebelum kamu solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah semasa makan. (hadis riwayat Bukhari, no 672 dan Muslim, no 557).
Dalam hadis yang lain yang juga riwayat Bukhari dan Muslim dari ‘Abdullah bin Mas’ud, baginda s.a.w menyebut: 


« إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ وَلاَ يَعْجَلَنَّ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ » وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُوضَعُ لَهُ الطَّعَامُ وَتُقَامُ 
 الصَّلاَةُ فَلاَ يَأْتِيهَا حَتَّى يَفْرُغَ ، وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ

Maknanya: “apabila diletakkan hidangan makanan seseorang dari kamu dan solat pun didirikan, mulailah dengan makanan itu dan jangan dia tergesa-gesa (ketika makan) hinggalah dia selesai darinya”. Adalah Ibnu Umar apabila dihidangkan padanya makanan dan solat didirikan, dia tidak tunaikan solat sehingga beliau selesai makan sedangkan dia mendengar bacaan imam. (hadis riwayat Bukhari, no 673 dan Muslim, no 559. Hadis ini dengan lafaz Bukhari).
Ini tidak bermakna kita diajar mementingkan makanan dari solat sebaliknya untuk menjaga kesempurnaan solat.

Oleh itu al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut dalam Fath al-Bari bahawa Ibnu Jawzi berkata: ada orang menyangka bahawa mendahulukan makan sebelum solat adalah mendahulukan hak seorang hamba berbanding hak Allah, tetapi sebenarnya ia kerana hendak mengutamakan hak Allah agar insan menunaikan ibadah solat dengan hati yang khusyuk dan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan para sahabat adalah sedikit dan itu tidak melambatkan mereka terputus jamaah (solat). (rujuk: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, jilid 15, halaman 383).


4-Makan dengan kadar yang sederhana
Hal ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 31:

﴿ وكُلُواْ وَاشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُواْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ 

Maknanya: dan makan serta minumlah kalian dan jangan kalian berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka pada orang-orang yang berlebih-lebihan.


Baginda s.a.w juga menyebut dalam sabda baginda:
« ما مَلأ آدميٌّ وِعاءً شَرّاً مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابنِ آدمَ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فإنْ كَانَ لا مَحالَةَ، فَثُلُثٌ لِطعامِهِ، وثُلُثٌ لِشَرابِهِ، وثُلُثٌ لِنَفسه »

Maksudnya: tidaklah anak Adam itu mengisi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasan. (riwayat Ibnu Majah, no 3474 dan Tirmizi, no 2380. Kata al-Tirmizi: hadis hasan sahih).
Perlu difahami bahawa hadis ini bukan menyuruh kita makan sekadar satu pertiga kapasiti perut sementara dua pertiga lagi untuk air dan pernafasan tetapi pembahagian ini disebut oleh wahyu untuk menjelaskan kadar paling banyak yang syarak anjurkan. Ini terbukti dengan kata-kata baginda s.a.w bahawa cukuplah anak Adam itu makan sekadar untuk menegakkan tulang belakangnya sahaja di mana ia bermaksud sekadar memberi tenaga dan kekuatan untuk hidup. Inilah disiplin makan yang terbaik. 


5-Doa ketika berbuka puasa
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: «إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ »
Maksudnya: sesungguhnya doa orang yang berpuasa itu tidak tertolak ketika dia berbuka. (hadis riwayat Ibnu Majah, no 1753, sanadnya sahih. Lihat Sunan Ibn Majah bi tahqiq Muhamad Fuad Abdil Baqi, Dar al-Fikr, Beirut, jilid 1, halaman 557).


Kita diharuskan berdoa pada Allah s.w.t apa saja yang kita hajatkan tetapi doa yang dianjurkan ialah seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis Ibnu Umar:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: « ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ »

Maksudnya: Apabila berbuka Rasulullah saw berkata: ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(telah hilanglah dahaga, telah basahlah urat-urat dan tetaplah pahala
إِنْ شَاءَ اللَّهُ) (riwayat Ibnu Majah, no 1825, dan al-Hakim. Kata beliau hadis ini sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim. Al-Zahabi menyetujui kata-kata al-Hakim).



Dalam riwayat Ibnu Majah bahawa Ibnu Umar r.a ketika berbuka berdoa dengan doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِى

Maksudnya: Ya Allah aku memohon pada-Mu dengan rahmat-Mu yang luas untuk setiap sesuatu agar Engkau ampunkan dosaku. (riwayat al-Hakim no 1535, hadis sahih).
Oleh itu kita dibolehkan berdoa apa saja yang kita kehendaki namun adalah lebih baik doa yang diajar oleh baginda s.a.w kerana ia merupakan wahyu ilahi dan kita disuruh mengikut petunjuk baginda jika kita benar-benar mencintai Allah s.w.t.


6-Berdoa untuk orang yang menjamu kita berbuka puasa
Nabi s.a.w apabila dijemput ke rumah Sa’ad bin ’Ubadah r.a dan dihidangkan makanan, baginda mendoakan untuk Sa’ad r.a:

« أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ »

Maksudnya: orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisi kamu, orang-orang yang baik telah makan makanan kamu dan para malaikat telah berselawat ke atas kamu. (riwayat Abu Dawud, sanadnya sahih, no 3854. Imam Ahmad meriwayatkan hadis yang sama apabila baginda s.a.w dijemput berbuka puasa di rumah sahabat-sahabat lain, no 1670).


Galakkan menjamu orang yang berpuasa dengan makanan
Ini bertepatan dengan sabda baginda s.a.w:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: « مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا »

Maksudnya: siapa yang memberi makan pada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa berkurangan walau sedikit pun. (riwayat Tirmizi, no 812, hadis hasan sahih).
Semoga adab-adab berbuka puasa yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w ini dapat kita amalkan sepanjang bulan yang mulia ini, disamping melipat gandakan dan berlumba-lumba melakukan amal salih yang lain yang disyariatkan oleh Allah s.w.t serta mengharap balasan syurga.

Sabda baginda saw dalam hadis di bawah:

« إِنَّ فِى الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَقُومُونَ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ »

Maksudnya: sesungguhnya terdapat satu pintu dalam syurga yang dipanggil al-Rayyan di mana ia akan dimasuki oleh mereka yang berpuasa. Tiada seorang pun yang tidak boleh memasukinya kecuali mereka. Terdapat suara bertanya: di manakah orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka pun bangun (dan memasuki pintu al-Rayyan), tiada seorang pun yang tidak berpuasa boleh memasukinya.

Apabila mereka telah masuk, pintu itu ditutup tanpa seorang pun dapat memasukinya. (riwayat Bukhari,no 1896).
Adalah diharapkan agar Ramadan kali ini menjadikan kita lebih dekat pada Allah azza wa jalla dan mencintai sunnah Rasulullah saw dengan mengamalkan ibadat-ibadat yang thabit lagi sahih seperti yang dituntut oleh syarak demi mencari reda Ilahi. 

Sesungguhnya ibadah yang bersandarkan sumber benar-benar pasti dari Rasulullah saw mudah diamalkan dan diberkati.

No comments: